Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (empat kiri) diiringi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin (tiga kiri) melawat pameran pada Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa (IGEM) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) melancarkan penyelesaian bumbung solar pertama di Malaysia yang dikenali sebagai M+ by Petronas.

M+ by Petronas adalah penyelesaian solar yang boleh direka khas, mampu milik dan sesuai untuk kegunaan komersial dan industri.

Menurut satu kenyataan di sini hari ini, Petronas berkata, prinsip mampu milik M+ by Petronas dipacu oleh model perniagaan bertumpukan kepada pelanggan, tiada perbelanjaan modal diminta daripada pelanggan, boleh direka mengikut kehendak pelanggan dan membolehkan penjimatan.

Petronas katanya menyediakan perkhidmatan end-to-end bagi memastikan para pelanggan hanya perlu membayar caj tarif bagi kegunaan mereka sahaja dan tidak terdedah kepada sebarang risiko teknikal dan perniagaan.

Penglibatan Petronas di dalam industri tenaga diperbaharui (RE) berlaku selepas pengambilan alih Amplus Energy Solutions Pte Ltd. (Amplus), sebuah syarikat pengedar dan pengeluar penyelesaian tenaga solar India.

Menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas & Tenaga Baharu Petronas, Adif Zulkifli, M+ by Petrona menandakan progres syarikat petroleum negara itu di dalam membekalkan alternatif tenaga bersih.

Ia juga mencerminkan visi strategik syarikat yang mahu meneroka lapangan baharu industri tenaga sebagai tambahan kepada minyak dan gas.

M+ Petronas dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil disaksikan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.-MalaysiaGazette