IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak tetap akan berlaku selewat-lewatnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Menurut Ahmad Faizal, beliau memberi jaminan bahawa pilihan raya di negeri itu akan dijalankan mengikut sistem demokrasi apabila tiba masanya.
“PRN tetap akan berlaku kalau dunia tak kiamat dalam jangka masa lebih tiga tahun lagi.
“Tetap akan berlaku kerana di Malaysia ini kita mengamalkan demokrasi di mana sidang Dewan Undangan Negeri dan Parlimen itu mesti dibubarkan setiap 5 tahun.
“Jadi saya percaya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan semua pihak sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya setiap lima tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS2) dan Pelan Pembangunan Stesen Keretapi Ipoh, di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial tentang satu tangkap skrin sekeping surat bertarikh 23 September lepas daripada Jabatan Pendidikan Negeri kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi membenarkan SPR mengadakan lawatan amal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi di dalam negeri ini.
Surat yang dicop ‘diterima’ pada tarikh 8 Oktober 2019 oleh Sekolah Kebangsaan Sungai Dulang Dalam, Sungai Sumun, Bagan Datuk menyatakan lawatan dijadual pada 1 September lepas hingga 30 November ini bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga mengingatkan semua pihak khususnya ahli politik agar memberi tumpuan kepada soal pembangunan dan tidak hanya berpolitik semata-mata.
“Saya sentiasa menggalakkan orang-orang politik tak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk hari ini memberi fokus kepada berkerja demi rakyat untuk pembangunan negeri dan negara.
“Bukan berpolitik tapi mendapatkan kuasa dan terus berpolitik bercakaran sesama kita yang boleh merosakkan negara.
“Jadi jawapan kepada sama ada kita akan mengadakan pilihan raya negeri, ianya tetap akan berlaku kalau kita tak kiamat esok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















