SINGAPURA – Seorang rakyat Malaysia menghadapi dua pertuduhan memberi suapan berjumlah S$1,500 kepada pegawai khidmat pelanggan dari Pihak Berkuasa Imigresen & Pemeriksaan (ICA) sebagai dorongan untuk mempercepatkan permohonan status Residen Tetap Singapura (PR).

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan rasuah, Fenny Tey Hui Nee, 24, boleh didenda sehingga S$100,000 atau dihukum penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Lucy Teo, pegawai khidmat pelanggan, menghadapi dua pertuduhan terlibat dalam konspirasi dengan Sharon Loo untuk menerima secara rasuah S$1,500 dari Tey.

Teo, 49, seorang warga Singapura, juga menghadapi 20 pertuduhan mengakses masuk ke dalam Sistem Maklumat Pengenalan dan Pendaftaran Pusat ICA (CIRIS) tanpa kebenaran sah untuk mendapatkan maklumat.

Akses itu termasuk rekod status permohonan Tey untuk PR sebanyak 11 kali, rekod nombor pasport seorang lelaki tiga kali dan rekod status permohonan seorang wanita untuk mendapatkan PR sebanyak enam kali.

Sementara itu, Loo, seorang warga Singapura berusia 28 tahun, menghadapi dua pertuduhan terlibat dalam konspirasi dengan Teo.

Biro Penyiasatan Amalan Rasuah Singapura mengingatkan pegawai awam bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk mengekalkan tingkah laku dan integriti peribadi pada tahap tertinggi.

“Singapura mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap rasuah. Ia adalah kesalahan serius untuk menerima atau mendapatkan rasuah dari individu atau entiti lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Biro itu berkata, pihak polis akan bertindak tegas terhadap rusan dengan pegawai awam yang tidak bertanggungjawab yang menyalahguina sistem kerajaan dan data termasuk mendakwa mereka di mahkamah.

Barang siapa yang dengan sengaja menyebabkan komputer melakukan apa-apa fungsi untuk tujuan mendapatkan akses tanpa kebenaran untuk apa-apa program atau data yang disimpan dalam komputer boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 atau dipenjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya, kata biro itu. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.