Tan Sri Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata pembangkang tidak perlu untuk membentangkan bajet bayangan pada tahun ini.

Jelasnya, tindakan itu diambil kerana polisi dan masalah yang dibentangkan mereka pada tahun lepas masih lagi sah.

“Kita sebagai pembangkang, jadi bajet kita dari segi dasarnya kita kira sah selama dua tahun. Kalau kerajaan, dia kena bentang setiap tahun kerana dia kena tahu jumlah yang diperlukan.

“Kita pembangkang fikir tidak perlu ada setiap tahun kerana kita bukan kerajaan lagi. Kita tidak bentang jumlah tapi kita bentang dasar dan ia sudah tetap begitu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Justeru itu, pembangkang akan hanya mengambil bahagian dalam perdebatan Bajet 2020 yang akan disampaikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, petang esok.

“Tahun ini ketua pembangkang akan mulakan debat berdasarkan apa yang kerajaan bentang. Kalau kita bentang tiap tahun itu tidak perlu sebab polisi bertukar-tukar setiap tahun.

“Tahun depan kita perlu bentang lagi sekali sebab ada polisi baru yang dikemukan oleh Muafakat Nasional,” katanya lagi. -MalaysiaGazette