Polis mengawal pangsapuri yang terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala, Kuala Lumpur malam tadi. Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

KUALA LUMPUR – Seramai 65 penduduk terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala, Kuala Lumpur malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohd Zuhair Faisal Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tanah runtuh berhampiran pangsapuri itu pada pukul 9.08 malam.

Katanya, seramai enam anggota bomba dan 13 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat itu.

“Sebaik tiba 10 minit kemudian, dikesan terdapat tanah runtuh di belakang pangsapuri terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pansapuri yang mempunyai 24 unit kediaman membabitkan 65 penghuni sudah tidak selamat diduduki dan mereka terpaksa dipindahkan sementara ke Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail,” katanya yang mengetuai operasi menyelamat menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi itu turut membabitkan anggota BBP Cheras, BBP Keramat dan dibantu pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya lagi, pihak polis juga ada membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian dan operasi ditangguhkan sementara.- MalaysiaGazette