Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas pada Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara keseluruhannya menyifatkan Belanjawan 2020 membuktikan kerajaan sedang berusaha untuk merangsang ekonomi.

Lebih prihatin kepada rakyat di desa, golongan miskin bandar, kata Anwar, terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik pada Belanjawan 2020.

“Saya secara objektif menyatakan bahawa belanjawan ini umumnya untuk merangsang ekonomi jadi ia memenuhi ciri usaha merangsang ekonomi.

Menarik, ia lebih prihatin terhadap permasalahan rakyat baik desa, miskin bandar, wanita, peluang latihan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

“Walaupun kita boleh pilih satu dua aspek yang boleh diberikan penambahbaikan pada umumnya pendekatan itu sangat memberangsangkan untuk ekonomi dan keselesaan rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, gembira dengan peruntukan untuk penduduk luar bandar yang meningkat Lebih RM80 juta berbanding tahun lalu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun bercakap kepada media selepas Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OKTOBER 2019

“Menjurus kepada keperluan rakyat, untuk luar bandar tadi banyak yang dibentangkan antaranya projek skim kesejahteraan rakyat yang naik daripada RM207 juta kepada RM280 juta yang sudah tentu akan memberi lebih nikmat kepada rakyat luar bandar itu merangkumi perumahan rakyat termiskin, untuk peningkatan pendapatan,” katanya.

Malah pelajar dan institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut mendapat manfaat daripada Belanjawan 2020, katanya.

“Bantuan pelajaran Mara RM2 bilion dan RM1.3 bilion untuk institut Mara sendiri yang semestinya untuk Bumiputera dan juga masyarakat luar bandar,” tambahnya. – MalaysiaGazette