Menteri Belia Dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas pada Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan hari ini sebagai perkhabaran gembira buat anak muda.

Katanya, penambahbaikan yang dilakukan terhadap belanjawan itu demi anak muda dan industri sukan dengan memberi contoh, peruntukan dana khas sebanyak RM6.5 bilion demi mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan.

Jelasnya, ini akan membantu ramai mahasiswa yang masih menganggur.

“Belanjawan ini bukan sahaja untuk 2020, tetapi bagi saya ia belanjawan anak muda 2020,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau yang mengulas mengenai elaun Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkata: “Pada masa yang sama kita tengok sektor TVET yang sangat dekat dengan hati anak muda khususnya yang berlatar belakangkan B40 ada peningkatan RM200 juta.

“Ini tidak termasuk kenaikan elaun anak-anak TVET di setiap institusinya RM100 setiap bulan, inilah hala tuju yang kita mahukan bukan shaja pemberian sekaligus sahaja (one off),” katanya.

Ujar Syed Saddiq, peningkatan gaji minimum kepada RM1,200 merupakan bukti Pakatan Harapan berada di landasan yang tepat untuk menunaikan manifestonya pada pilihan raya lalu. -MalaysiaGazette