KUALA LUMPUR – Harimau Malaya terus kempunan mata apabila tewas 0-1 kepada Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi malam tadi.

Sebelum ini pada aksi kedua, Malaysia tewas 1-2 kepada UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam permainan serba tidak menjadi itu, anak-anak buah Tan Cheng Hoe gagal memberi tekanan kepada kubu Vietnam manakal barisan pemain skuad Naga Emas pantas menutup ruang untuk penyerang Malaysia bergerak di kawasan lawan.

Gandingan benteng pertahanan negara yang diterajui Shahrul Saad dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak pula mengundang rasa cemas apabila beberapa kali melakukan kesilapan sehingga hampir mengundang padah.

Peluang terbaik Harimau Malaya pada separuh masa pertama hadir menerusi lontaran jauh pemain pertahanan kiri, La’Vere Corbin-Ong pada minit ke-23 namun ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.

Kealpaan pertahanan negara dihukum pada minit ke-40 apabila Nguyen Quang Hai bijak membaca hantaran kapten, Que Ngoc Hai sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Bersambung babak kedua, tidak banyak peluang dicipta dengan Harimau Malaya juga buntu untuk menembusi pertahanan Naga Emas yang tenang mematahkan setiap pergerakan jentera serangan negara.

Vietnam yang sesekali hadir menerusi serangan balas pantas hampir menambah jaringan pada minit ke-72 menerusi pemain gantian, Nguyen Anh Duc, namun percubaannya berjaya dihalang barisan pertahanan negara.

Biarpun cuba mengasak kubu Vietnam pada penghujung perlawanan, Harimau Malaya masih gagal untuk memecahkan kebuntuan gol sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil dari Iran, Mooud Bonyadifard. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast