KUALA LUMPUR – Bagi menggalakkan pembelajaran dewasa, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan untuk membiayai pendidikan di peringkat sijil khususnya bagi program yang diakreditasi selari dengan aspirasi IR4.0.
Tambah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, KWSP juga mengkaji untuk memperluaskan pengeluaran tersebut kepada ibu bapa dan pasangan pencarum.
“Kerajaan akan menyediakan geran RM20 juta yang akan dipadankan dengan peruntukan RM20 juta daripada Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (HRDF) untuk menggalakkan golongan dewasa yang bekerja menduduki peperiksaan pensijilan profesional dalam bidang kursus berkaitan IR4.0.
“Salah satu bidang fokus utama dasar pembangunan modal insan adalah dengan mengarus perdana Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Justeru, kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM5.7 bilion pada tahun 2019 kepada RM5.9 bilion pada tahun 2020 bagi program TVET,” katanya.
Di bawah Bajet 2020 juga, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.3 bilion untuk institusi pendidikan di bawah Mara.
Manakala sejumlah RM2 bilion untuk membiayai pinjaman untuk 50,000 pelajar.
Di samping itu, sejumlah RM192 juta turut diperuntukkan untuk program pensijilan profesional di bawah Yayasan Peneraju.-MalaysiaGazette