Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyokong dan mempromosi kumpulan pengganas.

Berhubung tangkapan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menjalani siasatan lengkap dalam tempoh 28 hari.

Beliau turut mendedahkan menyiasat pergerakan LTTE sejak November tahun lalu.

“Kita menjalankan siasatan berhubung kumpulan LTTE sejak November tahun lalu. Kita akan ambil tindakan jika ada bukti,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman Anjuran Jabatan Pengurusan, di Bukit Aman hari ini.

Semalam, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak.

Kedua-dua ADUN itu dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.

Tambahnya, setelah LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas sejak 2014 Malaysia tidak akan berkompromi dengan usaha menggerakkannya semula.

“Kita ada undang-undang kita sendiri. LTTE telah disenarai sebagai kumpulan pengganas sejak tahun 2014 bukan sahaja di Malaysia tetapi di Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka.

“Siasatan telah dijalankan dan kita ada asas kukuh. Saya tidak nampak apa tujuan kumpulan atau individu tertentu untuk aktifkannya semula.

“Berdasarkan gambar yang dipamerkan itu melibatkan LTTE, bukan isu pejuang hak kaum Tamil di Sri Lanka dan sebagainya, tapi ia perjuangkan dan promosikan kumpulan pengganas,” tambahnya.-MalaysiaGazette