petrol
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi 2 kereta dan 2 motosikal yang layak, akan berhak menerima Program Subsidi Petrol (PSP) untuk satu kenderaan sahaja.

Kenderaan yang layak untuk subsidi ini adalah seperti berikut:

•Kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah; atau
•Kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun; atau
•Motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah; atau
•Motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih 7 tahun.

Kenderaan mewah tidak layak menikmati subsidi bersasar ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bermula Januari 2020, PSP akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan seperti berikut:

Bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal. Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020.

Bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal. Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020.

Menurutnya, apabila skim subsidi bahan api ini dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur.

Ini akan mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit di pihak Kerajaan.

Subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08 seliter dan tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08 seliter.

Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim PSP yang akan memberi manfaat kepada kira-kira
lapan juta pemandu.

Pemandu kenderaan di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati siling harga petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.

Sekiranya Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak ingin menyertai PSP ini, maka kerajaan bersedia menerima permintaan mereka. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast