Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusudf Rawa mengharapkan elaun imam, guru KAFA dapat ditambah dalam Bajet 2020.

Jelasnya, pentadbiran Islam adalah sektor utama yang perlu dilihat dalam perbelanjaan kerajaan.

Namun pada masa sama, beliau pendapat prestasi golongan ini juga perlu ditingkatkan.

“Pentadbiran Islam adalah satu sektor utama dalam perbelanjaan kerajaan untuk memastikan pelancaran dan penerangan dasar baru Rahmatan Lil Alamin digerakkan merentas sektor.

“Selain itu, kebajikan warga yang menerima elaun dari kerajaan mengikut keperluan semasa diharapkan dapat ditingkatkan seperti elaun para imam, guru Kafa dan pemakmuran institusi masjid,” katanya menerusi kenyataan.

Untuk rekod, 99,642 murid KAFA berdaftar di seluruh negara sehingga Februari 2019 dengan jumlah guru pula seramai 32,500 orang.

Bajet yang dibentangkan tahun lalu memperuntukan  RM150 juta bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khairah Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada sekolah tahfiz bagi tujuan menaik taraf dan penyelenggaraan.

Membawa konsep Rahmatan Lil Alamin, Mujahid turut menyuarakan harapan agar kerajaan memberikan peruntukan yang cukup untuk program pengisian, penerangan kepada rakyat seluruh negara diadakan.

“Pengisian konsep kemakmuran bersama dalam memenuhi objektif keharmonian dan kesepaduan nasional sangat bergantung kepada peranan dasar masyarakat RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang diusahakan. Oleh itu, peruntukan untuk program ke arah tersebut perlu ada,”katanya lagi.

Pakatan Harapan menerusi Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan membentangkan Bajet 2020 petang ini. -MalaysiaGazette