Kumpulan lelaki yang tidak berdiri ketika lagu Negaraku sedang dimainkan.

KUCHING  — Seorang wanita dan enam lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana tidak menghormati nyayian lagu Negaraku pada 29 Sept lalu.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dibaca Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nurfazlin Mahmad Zulhasnan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Zubaidah menetapkan 11 Nov depan sebagai tarikh pengurusan kes dan tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan setiap seorang.

Mereka ialah Andrew Chong, 33, Kon Tai Keong, 37, Leong Shaow Tung, 43, Bong Sak Sin, 44, Tan Kok Chiang dan Pui Ping Ping, masing-masing berusia 46 tahun serta Phang Ngin Pen, 64.

Mereka didakwa tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika lagi Negaraku dimainkan pada satu majlis makan malam aktivis pada 27 September, pukul 7.15 malam, di hotel di Jalan Ban Hock.

Pada Jumaat, 29 September lalu, tular video sekumpulan individu dipercayai ahli atau penyokong Sarawak for Sarawakians (S4S), hanya duduk ketika lagu Negaraku berkumandang pada satu majlis di sini.

Difahamkan, tindakan itu sebagai menunjukkan bantahan berkaitan kemelut isu pemberian royalti minyak 20 peratus kepada negeri.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan, kerana menunjukkan sikap tidak hormat terhadap Lagu Kebangsaan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast