Anggota Bomba melakukan persembahan pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 31 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang memberi pertimbangan sewajarnya dengan meluluskan Elaun Perkhidmatan Bomba kepada 14,400 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, kerajaan mendapat manfaat menerusi pemberian Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba RM200 sebulan.

Nilai itu membabitkan peruntukan berjumlah RM35 juta setahun bagi 2020 sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan diberikan warga bomba yang mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ucapan terima kasih turut dirakam kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kementerian Kewangan.

“Elaun yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberi rangsangan dan motivasi kepada anggota bomba di seluruh negara untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid pula berkata, pemberian elaun itu disifatkan penyuntik semangat serta motivasi kepada warga bomba untuk memberikan khidmat bakti lebih baik kepada masyarakat.

Katanya, pemberian elaun yang sememangnya ditunggu sejak dipohon pada 2015 mengurangkan beban kos sara hidup pada masa kini yang semakin mencabar. – MalaysiaGazette