Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua kanan) melakukan gimik pelepasan Fit Malaysia Run pada Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Jangan anak tirikan kaum wanita yang berbakat dalam sukan seperti bola sepak, ragbi dan banyak lagi, kata Menteri Belia dan Sukan.

Lantaran itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, peruntukan sebanyak RM10 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan 2020 pada Jumaat akan digunakan untuk memperkasakan atlet wanita, selain menggilap dan mencari bakat yang berpotensi sehingga ke akar umbi.

“Jangan anak tiri wanita yang minat bola sepak, di negara Eropah lain ada atlet wanita bola sepak, ragbi dan banyak lagi. Sebelum ini bakat dalam kalangan atlet, ada wanita yang boleh dicungkil ada, tapi tiada inisiatif secukupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pelancaran Bulan Sukan Negara di KL Sport City, Bukit Jalil hari ini.

Beliau turut memberi jaminan kebajikan atlet wanita dalam negara akan terus dibela kerajaan.

Dalam pada itu beliau memaklumkan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan mengadakan bengkel pada 21 Oktober ini  untuk memperincikan bakat-bakat pemain bola sepak yang boleh dicungkil.

“Selepas bengkel itu nanti, baru kita akan perincikan. Kita nak pastikan ada ratusan lagi (pemain bola sepak seperti Luqman Hakim Shamsuddin) yang boleh dilahirkan. Kita perlu mula bertapak lebih dalam cari wakil dari Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam ketika membentangkan Belanjawan 2020, mengumumkan suntikan semangat kepada NFDP  sebanyak RM45 juta.

Ia bagi kegunaan mengadakan program akar umbi bola sepak negara ini.

Turut diumumkan memperuntukan RM179 juta bagi persiapan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Hanoi 2021 serta pembangunan atlet paralimpik.
-MalaysiaGazette