Ir. Soam Heng Choon
KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 untuk selama enam bulan lagi sehingga 31 Dis 2019 akan membantu lebih ramai pembeli rumah kali pertama memiliki kediaman, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Menurut Presiden Datuk Soam Heng Choon dalam satu kenyataan, REHDA juga teruja dengan keputusan Bank Negara Malaysia yang mahu meluaskan kriteria kelayakan bagi Dana Rumah Mampu Milik bernilai RM1 bilion dengan merangkumi golongan isi rumah berpendapatan RM4,360 daripada RM2,300, manakala harga rumah ditetapkan pada RM300,000.

“Ini akan membolehkan lebih ramai orang daripada golongan bawah 40 peratus daripada kumpulan pendapatan isi rumah (B40) untuk mendapat manfaat daripadanya,” kata beliau ketika mengulas mengenai Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

HOC menyediakan sekurang-kurangnya 10 peratus diskaun untuk hartanah yang layak, yang akan dipadankan dengan pengecualian duti setem.

Beliau ketika mengulas mengenai penurunan ambang kepada pembeli asing hartanah bertingkat tinggi kepada RM600 000, berkata walaupun ia terhad kepada tempoh satu tahun iaitu 2020 dan ditetapkan hanya untuk kawasan bandar, ia boleh membantu mengurangkan unit yang tidak terjual.

“Kami memohon Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan sokongan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan had ambang bagi tempoh berkenaan, memandangkan mereka mempunyai kuasa pemutus,” katanya lagi.

Mengenai cadangan semakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) yang dikenakan ke atas pelupusan hartanah selepas lima tahun dan ke atas aset yang diperolehi sebelum 1 Januari 2013, beliau berkata ia akan mengurangkan beban pemilik rumah yang merancang untuk menjual rumah mereka.

Kerajaan akan meningkatkan sentuhan RPGT dengan menyemak semula tahun asas untuk pengambilalihan aset pada 1 Jan, 2013 bagi aset yang diperolehi sebelum 1 Jan 2013, berbanding dengan tahun sebelumnya iaitu pada 1 Jan 2000.

Titijaya Land Bhd dalam satu kenyataan berasingan berkata pelan kerajaan untuk memperkenalkan Skim Sewa Beli (RTO) dengan kerjasama institusi kewangan akan membantu orang ramai yang mempunyai kesukaran mengeluar deposit 10 peratus apabila membeli sebuah rumah.

“Mengecualikan duti setem untuk pemindahan pemilikan antara pemaju dan bank, serta antara pembeli dan bank juga merupakan langkah yang baik bagi merangsang semula prestasi industri hartanah.

“Kami dirangsangkan oleh perkembangan baharu ini dan akan menunggu maklumat lanjut yang akan diumumkan supaya kami boleh berusaha ke arah matlamat bersama kami, seiring dengan kerajaan dan negara,” kata Titijaya Land. – MalaysiaGazette