Johan Jaafar

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak pengurusan Utusan Melayu memilih untuk Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) akhbar itu hanya untuk menyelamatkan jenama dan lesen surat khabar.

Bekas ketua pengarang Utusan Melayu Tan Sri Johan Jaafar turut mendakwa ia pertimbangan perniagaan semata-mata walaupun mengakibatkan lebih 800 petugas akbar itu hilang pekerjaan dalam sekelip mata.

“Jadi apa yang berlaku adalah syarikat gulung tikar. Syarikat telah melalui voluntary liquidation (penggulungan sukarelawa pemiutang). Maka sesiapa saja yang bekerja dengan Utusan Melayu dianggap sudah melepaskan jawatan. Semua aset di bawah syarikat itu akan dijual untuk membayar hutang.

“Dalam proses ini nampaknya yang diselamatkan adalah jenama dan lesen surat khabar tetapi kebajikan itu tidak diberi perhatian. Ini pertimbang perniagaan semata-mata.

“Bagi pandangan saya mereka seharusnya memikirkan pilihan lain,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Bengkel Media dan Politik dalam Malaysia Baharu, di Parlimen, hari ini.

Selain itu, Johan yang pernah mengemudi akbar itu pada 1990-an berkata beliau secara peribadi amat sedih dengan nasib yang menimpa akhbar tertua negara.

“Jadi tiada cara untuk mereka mengambil kesemua pekerjanya semula. Ini sesuatu yang sangat menyedihkan kerana syarikat akhbar berusia 80 tahun sudah terkubur dan kebajikan pekerja tidak difikirkan,” katanya.

Rabu lepas, dalam satu memo dalaman yang diedarkan kepada kakitangan syarikat oleh pengerusi eksekutif Utusan Melayu Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir dilaporkan berkata Lembaga Pengarah Utusan pada 7 Okt 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang sekali gus membuat keputusan menutup operasi syarikat itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast