KUALA LUMPUR –Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah terkejut kerana ‘belum apa-apa’ DAP sudah terlebih dahulu mengeluarkan pelbagai kenyataan menjurus kepada seolah-olah ianya salah polis melakukan tangkapan berkait Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) itu.
“Saya tidak faham mengapa ada pemimpin DAP yang sudah melompat dan bercakap sesuka hati mereka. Sebenarnya adakah mereka faham bahawa polis yang cuba mereka salahkan itu juga di bawah kerajaan mereka?
“Malah lebih mengejutkan apabila seseorang yang bergelar menteri boleh pula mendakwa insiden tangkapan ini sebenarnya berkaitan dengan agenda Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai kelak.
“Macam-macam kamu ini, bercakap seolah-olah masih lagi pembangkang. Biarlah polis jalankan siasatan dengan telus dan rapi terlebih dahulu. Itu tanggungjawab mereka. Dan kita jangan sesekali lupa, ini berkait rapat dengan keselamatan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Murugiah berkata, sebagai ahli Parlimen dan menteri Kabinet, pemimpin DAP sepatutnya tahu mereka, dan tindakan mengeluarkan pelbagai kenyataan akan mewujudkan rasa tidak harmoni dan keadaan kucar kacir dalam kalangan rakyat sendiri.
“Biarkan polis jalankan tanggungjawab mereka.
“Jika tidak bersalah, bebaskan mereka. Jika dakwaan itu benar, kemukakan bukti dan bawa ke muka pengadilan. Janganlah melampau batas dan keluarkan segala macam ‘cerita’ hanya kerana parti kamu sudah terkena.
“Lagipun, polis sendiri termasuk Ketua Polis Negara sudah memberikan jaminan tangkapan-tangkapan ini mengikut lunas yang betul dan pengadilan akan diberikan,” katanya.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran mendakwa tangkapan suspek LTTE berkemungkinan berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai 16 November depan.
Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menolak dakwaan Kula sambil menyifatkan ianya hanya sekadar pandangan peribadi Menteri itu.
Selain Kula, dua hari Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula mengeluarkan kenyataan bahawa polis telah memberikan jaminan tidak akan ada pemimpin dalam kalangan parti itu akan di tahan lagi.
Kata Murugiah lagi, adalah lebih baik supaya pemimpin-pemimpin ini tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan ‘membelakangi’ pihak berkuasa sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada polis sahaja.
“Apabila sudah diberi mandat sebagai pemerintah, perlu bertindak sebagai kerajaan. Jangan memandai kerana rakyat sedang memerhati. Anda adalah pemimpin dalam kerajaan. Kena tunjuk contoh baik. Jangan tunjuk hero.
“Alasan mereka menyalahkan kerajaan menggunakan isu LTTE ini untuk menang PRK Tanjung Piai tidak sesuai. Jangan cuba tambahkan kekeruhan ini, sudahlah rakyat bimbang dengan keadaan terkini dengan tangkapan-tangkapan ini. Cukuplah,” tegasnya.
Murugiah juga senada dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang menggesa supaya siasatan menyeluruh dan telus dilakukan oleh polis bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan cara terbaik tanpa sesiapa teraniya. –MalaysiaGazette
Tangkapan LTTE: Polis ikut peruntukan undang-undang – Dr Mahathir
Terlalu diberi muka, inilah padahnya.