Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof meluangkan masa melawat beberapa kedai jualan koperasi ketika hadir pada Majlis Perasmian Permulaan Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Berhad di Angkasa, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 13 OKTOBER 2019

PETALING JAYA- Penglibatan kerajaan dalam memudahcara projek kereta terbang sudah memasuki fasa kedua.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, antara lain fasa kedua itu melibatkan usaha-usaha untuk merangsang industri aeroangkasa.

Ini termasuk pengembaraan ke angkasa, jelasnya.

Beliau yang sekali lagi menegaskan projek kereta terbang adalah satu inisiatif swasta sepenuhnya berkata, kerajaan tidak pernah memantau perkembangan projek tersebut.

“Ia adalah inisiatif swasta, kerajaan tidak ada kawal selia dan tidak pernah memantau sama ada progresnya cepat atau lambat.

“Kerajaan hanya memudah cara supaya industri ini dapat diwujudkan.

“Antara usaha yang telah dilakukan adalah perbincangan rentas kementerian termasuk dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pribumi Bersatu Malaysia Bhd. (Ko-Best) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan menafikan usahawan bumiputera mendapat peruntukan yang kurang berbanding kaum lain.

Jelasnya, di kementeriannya, tugas mereka adalah untuk membangunkan para usahawan dan memudah cara para usahawan untuk memajukan perniagaan masing-masing.

Katanya, peruntukan Belanjawan 2020 adalah bersesuaian mengikut sektor-sektor yang telah ditetapkan.

“Peruntukan diberikan kepada semua kementerian.
“Usahawan bumiputera juga mendapat bahagian mereka dan kesemua peniaga boleh mendapat pelbagai inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020 mengikut kementerian atau agensi tertentu,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM8 bilion kepada usahawan bumiputera dalam Belanjawan 2020 yang disalurkan melalui pelbagai kementerian dan agensi.-MalaysiaGazette