KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pemimpin tertinggi DAP yang begitu beria-ia ‘menyerang’ kepada pihak berkuasa terutamanya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memperlihatkan seolah-olah parti ini lebih arif dalam aspek keselamatan negara.
Malah lebih mengecewakan apabila rata-rata yang ‘melompat’ itu adalah dalam kalangan pemimpin yang menjawat jawatan dalam Kabinet, kerajaan negeri negeri selain wakil rakyat yang mana mereka sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat.
Tindakan mempersoalkan polis dalam isu tangkapan pemimpin DAP yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak boleh di terima sama sekali.
Itu kata Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja kepada MalaysiaGazette yang hairan dan tertanya-tanya mengapakah parti itu sentiasa ‘besar kepala’ hingga boleh membelakangkan polis, khususnya yang melibatkan perkara sensitif seperti keselamatan negara.
“Saya tidak faham langsung, seorang itu persoal mengapakah tangkapan yang dianggap tidak ‘adil’ itu di buat, seorang lagi begitu yakin kononnya polis sudah memberitahu tidak akan ada lagi tangkapan melibatkan pemimpin parti itu.
“Lagi kelakar dan ajaib apabila seorang yang bergelar Menteri Kabinet pula lebih daripada yakin kononnya tangkapan-tangkapan ini ‘gimik agenda’ Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. DAP bertanding ke? Sudah tahu akan kalah?
“Ingat polis ini suka-suka hendak tangkap orang? Lagi-lagi apabila melibatkan isu-isu seperti keganasan? Kamu semua dalam Kabinet, ada jawatan tinggi dalam kerajaan pusat dan negeri. Jadi apa masalah untuk tunggu dan lihat terlebih dahulu siasatan polis?
“Polis sendiri sudah memberi jaminan isu ini dalam siasatan dan yang tidak bersalah tidak akan sesekali teraniya, jadi mengapakah kamu semua ini melalak-lalak seperti ketidakadilan telah berlaku pada masa ini?
“Tolong sabar boleh? Jangan prejudis atau belakangkan polis seperti ini. Adakah DAP jauh lebih arif dan pakar dalam isu ekstrem, lagi-lagi soal keselamatan sehingga boleh menuding jari kepada polis? Sungguh memalukan lagi-lagi kamu semua ini bukan pembangkang,” katanya.
Sebelum ini bebeberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin kanan DAP seperti Lim Guan Eng, P Ramasamy, M Kula Segaran dan Charles Santiago berhubung tangkapan beberapa pimpinan parti itu juga dikaitkan dengan gerakan LTTE.
Tambah RT Raja, dengan menyoal polis atau membuat dakwaan tertentu selain menuding jari tidak lebih daripada mempersoalkan kewibawaan serta integriti polis dalam kerajaan mereka sendiri.
“Belajar hormat pasukan keselamatan kita, tolong jadi contoh baik kepada yang lain di luar sana. Beri kerjasama dan biarkan pasukan kita lakukan yang terbaik dalam isu ini. Jangan asyik fikir kamu ini parti kebal sahaja.
“Apabila seseorang dari parti kamu terpalit dengan sesuatu isu, kamu semua bangkit ramai-ramai kononnya seperti semua yang lain bersalah dan cubaan untuk menghukum selain mempunyai agenda tertentu.
“Tetapi apabila yang lain kena malah ada juga kesnya belum selesai walaupun di mahkamah, parti kamu juga sudah bangkit lakukan pelbagai jenis tohmahan terlebih dahulu. Ingat, ini bukan undang-undang rimba, biarkan polis lakukan tugasan mereka,” tegasnya.
Dalam pada itu, RT Raja juga berharap tidak ada sesiapa yang teraniya dalam isu tangkapan ini walaupun mempunyai idealogi parti yang berbeza.
“Kita sangat berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan paling telus dan rapi dalam perkara ini agar tidak ada sesiapa yang teraniaya, sebanyak mana kita tidak mahu kompromi dalam isu keselamatan, kita juga berharap janganlah tersalah hukum,” jelasnya.
Sebelum ini, Presiden MIC merangkap Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dalam isu LTTE dan tidak sesekali ‘tersilap’ dengan menyamakan simpati kepada mangsa perang Sri Lanka kepada menyokong aktiviti keganasan. –MalaysiaGazette