KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering kelihatan tegas rupa-rupanya kuat merajuk. Perkara itu diakui oleh Perdana Menteri itu sendiri.
Katanya, beliau merajuk dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali terutama membabitkan isu masa.
Dr Mahathir berkata, kaum wanita seringkali tidak menghargai masa, sedangkan beliau selalu patuh kepada masa.
“Saya tak suka lambat tetapi saya akui tidak boleh membetulkan perkara ini (masalah lambat). Dia (isteri) mesti lambat dan saya kini mesti bersedia menunggunya,” kata Dr Mahathir yang berkongsi kisah kehidupannya dengan Geng Pagi Hot, Hot FM.
Mengulas mengenai kenangan zaman kecilnya, Dr Mahathir berkata, beliau pernah menjadi mangsa buli oleh seorang rakan, juga anak jirannya yang bernama Husin.
“Saya dulu kena buli pasal saya jual belon. Saya beli belon dua sen dapat tiga, kemudian saya jual setiap satu sebanyak satu sen, jadi dapat tiga sen.
“Kawan ni akan suruh saya bawa dia ke kantin, suruh belikan dia nasi,” kata Dr Mahathir yang akur dengan arahan kawannya itu kerana Husin seorang yang kuat.
Mengulas pula hubungannya dengan cucu-cucu beliau, Dr Mahathir memberitahu, meskipun tidak dapat mengingati kesemua 18 orang nama cucu-cucunya namun sangat menyayangi mereka lebih daripada anak-anaknya sendiri.
Katanya, beliau amat rapat dengan semua cucu-cunya dan setiap kali bertemu mereka akan saling berpelukan. – MalaysiaGazette