KUALA LUMPUR – Tidak wajar menggunakan pelajar sekolah agama sebagai alat untuk mempertikaikan ajaran Islam dengan mendebatkan topik yang melampaui batas.
Kata Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas, Datuk Dr. Mohamed Fadzil Hassan, apa yang berlaku ketika Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang menggunakan isu homoseksual salah satu tajuk debat berpotensi untuk menggugat akidah umat Islam.
“Debat itu disertai oleh pelajar sekolah menengah berasrama penuh. Dalam tradisi debat ada yang menyokong dan ada yang membangkang.
“Amat tidak wajar sekali pelajar-pelajar sekolah menengah yang rata-rata beragama Islam ini dipaksa dan dijadikan alat untuk mempertikaikan pokok ajaran Islam dan kedudukan al-Quran disisi umat Islam.
“Tajuk-tajuk ini juga boleh menggugat akidah umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamed Fadzil juga menyokong gesaan pihak tertentu yang mahu Kementerian Pendidikan dan pihak polis turut mengambil tindakan terhadap penganjur pertandingan yang disifatkan tidak sensitif dan cuba membangkitkan kemarahan umat Islam khususnya.
Pada Isnin, Debat Piala Tun Razak 2019 menggunakan tajuk yang didakwa menyatakan bahawa Islam tidak menghalang debat yang mengundang mengundang reaksi pelbagai pihak.
Antara yang menyuarakan kekesalan kepada pihak penganjur adalanh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan Majlis Ulama Isma.-MalaysiaGazette