Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan pakatan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) wujud berpunca daripada ketiadaan tarikh spesifik untuk Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, meskipun usaha tersebut kini dilihat tidak lagi relevan selepas penggabungan di antara UMNO dengan Pas, namun beliau tidak menolak kemungkinan ia akan kembali dibincangkan jika Presiden PKR itu tidak diberi laluan.

“Jika tidak jelas peralihan kuasa bulan lima (Mei), ada kemungkinan perkara ini dibangkitkan semula.

“Perjanjiannya maksimum 2 tahun pada Mei 2020 adalah tarikh amat penting dalam percaturan perubahan jawatan.

“Jika tidak diberi kepada Anwar saya lihat kembali usaha membawa pakatan baru,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Pontian itu mengulangi pendirian UMNO yang enggan bersama-sama dengan DAP dan Amanah sekiranya wujud pakatan baharu.

Semalam, Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan media mendakwa wujud gerakan menubuhkan kerajaan baharu yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Namun Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO menafikannya dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai bukti PH mengalami krisis dalaman. – MalaysiaGazette