Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR –Saksi ke-9 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan bagaimana ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low melakukan pindaan terhadap perlembagaan syarikat itu.

Malah dakwa bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pindaan perlembagaan itu dilakukan oleh Jho Low bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai ‘kuasa mutlak’ untuk membuat keputusan tertentu dalam syarikat itu.

Ini kata Shahrol, akan memberi kuasa muktamad tanpa sebarang kelulusan daripada pemegang saham.

Jelas Shahrol, Jho Low telah memberi cadangan supaya Artikel 117 dimasukkan ke dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB yang memberikan Najib kuasa mutlak selain menggantikan Artikel 9(a) yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan ke atas 1MDB.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 OKTOBER 2019.

Sebuah syarikat guaman dikenali sebagai ‘Wong & Partners’ juga telah dirujuk dengan peguam utamanya, Brian Chia sebelum pindaan itu dilakukan.

“Ini yang dimahukan oleh Datuk Seri Najib dan arahan itu datangnya daripada Jho Low.

“Pindaan ini bukan hanya melibatkan hal-hal pentadbiran sebaliknya juga perubahan sebenar kuasa,” katanya ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika pemeriksaan balas sebentar tadi.

Kelulusan Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 9(a) Memorandum dan Artikel 1MDB itu dipinda kepada kelulusan Perdana Menteri mengikut Artikel 117.

Artikel 117 berkenaan dimasukkan ke dalam Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB yang bersamaan dengan Artikel 9(a) bagi Memorandum dan Artikel Pertubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini berdepan dengan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama.

Perbicaraan akan bersambung sebentar selepas berehat makan tengah hari di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. –MalaysiaGazette