Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. foto HAZROL ZAINAL, 11 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Tempoh perjalanan dari ibu kota ke Pulau Pinang  boleh dipendekkan kepada hanya sejam daripada empat jam dengan kereta terbang.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata demikian ketika memaklumkan kelebihan kereta yang dijangka dapat direalisasikan menjelang tahun depan.

“Saya nak nyatakan di sini kalau kita pergi ke Pulau Pinang empat jam sekarang, mungkin pihak swasta dan usahawan sedang berbincang untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang selama satu jam mengunakan kanderaan kereta terbang, bukan saya nyatakan benda itu akan terjadi, tetapi telah ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam tahun 2020,” katanya di Parlimen.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab seoalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dalam soalan tambahan meminta Redzuan menyatakan tarikh spesifik projek kereta terbang akan dilancarkan.

Selain melancarkan inovasi baharu itu, Redzuan dalam masa yang sama berkata, ia perlu dilaksanakan dengan memperkenalkan undang-undang baharu melibatkan kereta terbang.

“Sebagai contoh jika mahu menerbangkan dron, anda memerlukan permit di Putrajaya. Contohnya tidak dibenarkan dron diterbangkan tanpa kebenaran.

“Permit kebenaran boleh dimohon dalam beberapa minit sahaja, insurans pula seperti yang dibangkitkan boleh dilakukan menerusi dalam talian,” katanya.

Pada Ogos lalu Redzuan berkata, pembinaan kereta terbang pertama Malaysia sudah 85 peratus siap yang dilakukan oleh syarikat Malaysia di Jepun. – MalaysiaGazette