Andy Murray berjaya melangkah ke suku akhir Jelajah ATP Terbuka Eropah selepas menundukkan pemain Uruguay 6-4 6-3 semalam.

ANTWERP,BELGIUM – Andy Murray berjaya melangkah ke suku akhir Kejohanan Tenis Jelajah ATP Terbuka Eropah malam tadi.

Bekas jaguh tenis nombor satu dunia dari Britain itu menang straight set menentang pemain pilihan kelapan kejohanan Pablo Cuevas di Antwerp.

Andy Murray yang kini berada pada ranking 243 dunia menewaskan pemain Uruguay dengan keputusan 6-4 6-3 dalam masa 84 minit.

Ia merupakan kemenangan keenam tahap Jelajah ATP sejak kembali pulih daripada pembedahan pinggang yang hampir menjejaskan kariernya.

Juara dua kali Wimbledon berusia 32 tahun itu akan berdepan pemain nombor 92 dunia dari Romania Marius Copil di suku akhir yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Andy Murray antara jaguh pilihan juara bagi temasya kali ini di Belgium.

Murray menyifatkan aksi menentang Cuevas satu perlawanan terbaik dalam kariernya, sambil mengharapkan satu lagi kemenangan di suku akhir untuk mencerahkan peluang ke final pada temasya kali ini.-MalaysiaGazette