Sebuah kereta dipercayai membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial facebook Nga Kor Ming Super Fans Page di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hadir di Bukit Aman pagi ini untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di laman Facebook (FB) milik beliau yang didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Najib tiba pukul 11 pagi dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana warna hitam dengan nombor pendaftaran TN50.

Kenderaan yang dinaiki Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan dilihat diiringi beberapa kenderaan polis.

Bagaimanapun, kenderaan yang membawa Najib tidak berhenti di pintu masuk ibu pejabat polis berkenaan dan terus memasuki kawasan Bukit Aman menyebabkan media yang menunggu sejak pukul 9 pagi tadi tidak dapat merakamkan gambarnya.

Terdahulu, Najib yang kini lebih dikenali dengan panggilan ‘Bosku’ memuat naik satu hantaran di Facebooknya menyatakan beliau akan hadir ke Bukit Aman pagi ini untuk tujuan berkenaan.

Menerusi hantaran itu Najib  tidak menolak kemungkinan bahawa ianya satu langkah dari Pakatan Harapan untuk cuba menutup atau menyekat laman media sosialnya.

“Saya tak fitnah dia dan saya akan memberi maklumat serta bukti kepada pihak polis.Tapi apa yang saya tak faham ialah kenapa Nga Kor Ming besar sangat sehingga pihak polis perlu dilibatkan jika dakwaan dia ialah saya telah fitnah dia.

“Sepatutnya terus failkan saman fitnah sivil terhadap saya seperti apa yang saya pernah buat ke atas dia di mana saya telah menang.

“Saya tak melibatkan pihak polis pun walaupun masa itu saya PM (perdana menteri),” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis akan meneliti dahulu laporan polis dibuat Setiausaha Sulit Kanan kepada Ahli Parlimen DAP terbabit di Ipoh, Perak pada 3 Oktober lalu.

Huzir menjelaskan, pihaknya akan memanggil bekas perdana menteri itu jika ada keperluan.

Pada 8 Oktober lalu, Kor Ming menggesa polis menyiasat FB ‘Najib Razak’ susulan hantaran didakwa berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik di akaun FB itu pada 30 September lalu.

Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan yang dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

Pengerusi DAP Perak itu menganggap tindakan Najib sebagai cubaan merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya serta DAP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.