Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kiri) mengatakan sesuatu dengan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid (kanan) pada Majlis Amanat, Tahlil dan Kenduri Kesyukuran sempena Keputusan Inkues Allahyarham PBK II Muhammad Adib Mohd Kassim dan Kelulusan Elaun Perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2019.

PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengakui beliau hampir putus asa untuk memohon Elaun Perkhidmatan Bomba sebelum ini.

Beliau menjelaskan, ini kerana kertas cadangan elaun itu telah ditolak Kabinet sebanyak tiga kali.

Menurutnya, terlalu banyak kekawang yang dihadapi sehinggalah mendapat keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Agong sangat prihatin dan Baginda merasa anggota bomba berhak mendapat elaun tersebut.

“Saya buat lagi kertas cadangan kepada Baginda untuk diminitkan kepada Kementerian Kewangan.

“Baginda tidak titah hanya mohon pertimbangan sahaja. Selepas itu apabila saya buat susulan, ada lagi kekangan.

“Saya jumpa perdana menteri lagi dan hampir putus asa kerana ditolak tiga kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai amanat kepada anggota bomba selepas Majlis Amanat, Tahlil dan Kenduri Kesyukuran sempena keputusan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan Elaun Perkhidmatan Bomba di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini malam ini.

Pada 11 Oktober lalu, kerajaan telah meluluskan permohonan Elaun Perkhidmatan Bomba berjumlah RM200 yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Zuraida berharap elaun yang diberikan itu dapat memberikan rangsangan motivasi kepada 14,400 anggota bomba di seluruh negara untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Agong; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng atas kelulusan permohonan itu. – MalaysiaGazette