Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Konvensyen UMNO Negeri Selangor 2019 di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 19 OKTOBER 2019.

SHAH ALAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat sebarang tawaran fizikal melibatkan pembangunan dan kemudahan asas kepada pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, parti pembangkang hanya akan menjanjikan ‘bulan dan bintang’ sepertimana yang digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu.

“Tawaran baru yang akan kita bincangkan hari ini bukan dalam bentuk physical happiness, bukan hanya memenuhi kehendak fizikal lahiriah seperti permintaan jalan, dewan, sekolah dan pelbagai lagi bentuk fizikal.

“Itu semua bukan kerja kita sebagai pembangkang. Kerja kita sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen tak perlu modal pun.

“Sebab yang mereka perlukan sekarang ini daripada kita ialah spiritual happiness, tawaran kepada kehendak kerohanian.

“Apa yang dia (PH) tawarkan oleh mereka, ialah spiritual happiness yang lawan kita, janji bulan bintang,” katanya berucap merasmikan Konvensyen UMNO Selangor hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata, UMNO perlu mengambil iktibar kepada kekalahan lepas kerana tawaran pembangunan fizikal tidak menjamin kepada sokongan pengundi.

“Dulu apa saja Tan Sri Noh Omar tak bagi, walaupun Selangor negeri pembangkang.

“Dari segi rumah flat, jalan luar bandar, bekalan air, masjid dan surau, walaupun Selangor negeri pembangkang.

“Kerajaan negeri tidak tanggung, yang tanggung kerajaan Persekutuan, apa Tan Sri Noh tidak bagi, apa hasilnya, cuma lima kerusi.

“Itu semua physical happiness, physical deal atau tawaran fizikal tetapi mereka tidak undi kepada kita,” katanya.

Beliau berkata lagi, semua tawaran UMNO-BN itu perlu dilaksanakan dengan kos yang terendah tetapi mempunyai kesan sangat berkesan.

“Kita harus melakukan semua tawaran itu dengan low cost high impact, mesti dengan kos yang paling rendah tapi kesannya paling tinggi,” katanya.

Katanya lagi, ketua-ketua bahagian UMNO perlu mencontohi rakan politiknya, Pas yang mampu memiliki aset parti sendiri walaupun tidak menjadi kerajaan.

“Kita bercakap tentang perbelanjaan, ya segala-gala memerlukan duit, tapi duit bukanlah segala-galanya.

“Rakan baru kita dalam politik adalah Pas, mereka tidak pernah ada aset. Mereka tidak pernah ada perbelanjaan peruntukan, tetapi tadika Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) hak milik mereka.

“Setiap kawasan ada markasnya yang mereka punya sendiri. Kita di peringkat Parlimen, DUN, dewan kita bina (tapi) tanah kerajaan negeri punya.

“Bila kita kalah semua kena ambil sebab kita tak pernah menukar minda kita ketika itu bahawa satu ketika kita akan hilang kerajaan.

“Semuanya akan hilang termasuk kerusi meja khemah yang kita simpan dalam dewan itu menjadi milik mereka kerana harta tidak alih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette