Zul Huzaimy muncul juara pada pentas akhir All Star Buka Panggung di Royal Teater Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy Marzuki muncul juara program All Stars Buka Panggung 2019 sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Tempat kedua pula menjadi milik Noorkhiriah yang berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000 berserta trofi.

Pemenang tempat ketiga diraih Datuk Aaron Aziz dan berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Sementara itu, Rita Rudaini pula menduduki tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Pentas final All Stars Buka Panggung berlangsung dengan meriah di Royal Theatre, Shah Alam, malam tadi.

All Stars Buka Panggung adalah sebuah program sketsa spontan bertemakan Katakan Tidak Pada Skrip yang menguji kemampuan pelakon tanah air mempersembahkan lakonan secara improvisasi tanpa menggunakan skrip.

Sesi fotografi bersama Rita Rudaini (kiri), Noorkhiriah (dua kiri), Zul Huzaimy (dua kanan) dan Aaron Aziz (kanan) pada pentas akhir All Star Buka Panggung di Royal Teater Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 OKTOBER 2019.

Dalam masa sama, rancangan itu turut memperlihatkan bakat pelakon dalam bidang nyanyian di mana mereka perlu menyanyikan lagu yang dipilih pihak produksi.

Persembahan peserta 100 peratus ditentukan secara undian atas talian penonton.

Pentas final itu turut dimeriahkan dengan kemunculan artis undangan iaitu Ebby Yus, Ropie dan Ali Puteh.

Penyanyi Mas Idayu, Juzztin dan Nabila Razali pula tampil sebagai artis undangan membuat persembahan.

Penerima sumbangan pada pentas final ialah pelakon veteran Hamid Gurkha.

All Stars Buka Panggung dihoskan Ajak dan Shahrul Shiro serta diserikan dengan Seri Dewi Panggung, Erra Fazira dan ia disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (125). – MalaysiaGazette