Pengerusi Perhubu­ngan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO diminta supaya menjaga adab ketika menggunakan laman sosial dengan tidak menghentam pemimpin parti sesuaka hati terutama terhadap perkara-perkara yang masih ‘samar-samar’ faktanya.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani yang memberitahu, laman sosial tidak boleh dijadikan tempat untuk meluah rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerana ia akan menjadi bahan kepada pihak lawan untuk menyerang.

Katanya, ahli-ahli UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal parti tanpa perlu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin mereka dalam apa jua keadaan lebih-lebih lagi jika menggunakan laman sosial sebagai medium untuk menunjukkan kemarahan.

“Sebab itu kalau kita lihat mana-mana parti yang berjaya adab diutamakan dalam parti. Kadang-kadang kita kena faham dalam perjuangan ini masing-masing mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza tetapi matlamatnya sama.

“Tapi, kalau penyampaiannya itu dibuat tidak ikut adab, maka, ia akan jadi bahan untuk parti-parti lawan membangkitkan perkara-perkara yang kita bangkitkan secara terbuka itu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan di PWTC di sini hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid (tengah) diiringi Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) dan Pengerusi Perhubu­ngan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (empat kanan) bergambar bersama sebahagian perwakilan yang hadir pada Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2019

Johari berkata, apa sahaja yang dilontarkan di laman sosial oleh ahli UMNO meskipun perkara tersebut tidak berfakta ia dianggap betul oleh pihak luar.

Justeru, ahli-ahli UMNO terutama pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan agar menunjukkan adab serta akhlak pekerti yang tinggi supaya ia dapat dicontohi oleh keseluruhan ahli diperingkat akar umbi. – MalaysiaGazatte