V. Thiagarajen menunjukkn notis penutupan operasi kilang memproses sisa ayam di Pulau Indah. Klang.

KLANG – Notis sudah ditampal, bukan sekali tetapi dua kali. Tentunya petanda bahawa kilang memproses sisa ayam yang terletak di Sungai Chondong, Pulau Indah di sini tidak dibenarkan meneruskan operasi.

Namun umpama kebal dan mencabar pihak berkuasa tempatan, pemilik kilang itu nampaknya masih giat menjalankan kegiatan secara haram.

Tentunya yang diperjudikan adalah pekerja di kilang-kilang berhampiran di kawasan Sungai Chondong itu yang bimbang kesihatan mereka terjejas semata-mata sikap acuh tak acuh pengusaha yang tidak bertanggungjawab itu.

Menerima banyak aduan dan mendengar sendiri keluhan pekerja-pekerja di kawasan sekitar, Presiden Gagasan Sosial Dinamik, V. Thiagarajen membuat keputusan untuk turun padang meninjau sendiri keadaan sebenar di premis haram itu.

V. Thiagarajen menunjukkan notis larangan operasi di kilang memproses sisa ayam di Pulau Indah.

Alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati walaupun notis penutupan serta merta dan disita Majlis Perbandaran Klang (MPK) Mac lalu, namun kilang itu masih beroperasi.

“Saya pada mulanya tidak percaya namun selepas turun ke lokasi dan melihat sendiri kebanyakan pekerja kawasan sekitar mengalami penyakit kulit, sesak pernafasan dan ada juga jatuh sakit sehingga menerima rawatan beberapa minggu di hospital.

“Saya juga mendapati pintu utama kilang itu telah disita dan ditutup dengan pita kuning MPK dan notis baharu arahan pemberhentian operasi bertarikh 2 Oktober 2019 ditampal pada salah satu daripada dua pintu besi utama kilang itu.

“Tetapi bau busuk yang menjijikan masih ada di kilang itu dan saya melihat beberapa pekerja masih tinggal di dalam dan menutup tingkap selepas melihat kehadiran kami.

“Persoalannya kilang ini sudah disita MPK, tetapi bagaimana pemilik kilang masih berani beroperasi sehingga mengingkar arahan kerana saya mengesyaki walaupun operasi diarah dihentikan dan disita, pemilik mungkin meletakkan pekerja di dalam dan menjalankan kerja secara senyap,”katanya ketika ditemui di sini.

Pemandangan luar kilang.

Sehubungan dengan itu, Thiagarajen menggesa MPK bertindak tegas menahan kesemua pekerja yang disyaki warga asing itu serta menahan pemilik kilang tersebut.

Beliau juga yakin kilang tersebut masih beroperasi kerana wujud bau busuk menandakan sisa ayam masih dibawa masuk dan diproses untuk dijadikan baja biarpun notis telah dikeluarkan sejak Mac lalu.

Menurutnya beliau tidak boleh berdiri lama di kawasan itu pada radius 150 meter kerana bau busuk begitu kuat dan bertambah teruk selepas hujan lebat .

“Saya juga terkilan kerana sebelum ini pada Mac lalu MPK menerusi Yang DiPertuanya Datuk Mohamad Yasid Bidin pernah berkata pencemaran dari kilang memproses sisa ayam berkenaan begitu teruk selain membuang sisa kumbahan ke parit saliran.

“Ia telah diarah tutup dan disita serta kompaun dikenakan mengikut Undang-Undang kecil 3, Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 kerana tidak mempunyai lesen mengilang, lesen menyimpan dan tidak menjaga kebersihan dan tindakan lanjut akan diambil jika ingkar arahan.

“Apa yang pelik MPK juga bertegas akan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air selangor memotong bekalan elektrik dan air malangnya terbukti tindakan itu tidak menyusul dan kilang itu didakwa beroperasi secara senyap di dalam,” keluhnya.

Premis ini disyaki masih meneruskan operasi secara haram.

Menurut beliau, tidak menolak kemungkinan MPK terlepas pandang dalam kedua dua tindakan pemotongan bekalan air dan elektrik kilang haram itu dan mahu MPK memberi penjelasan disusuli tindakan segera.

Katanya, laporan berbentuk aduan kepada Kementerian Kesihatan di Putrajaya serta Suruhanjaya pencegahan Rasuah (SPRM) turut dikemukakan sebelum ini tetapi tiada tindakan sehingga kini.

“Saya berharap MPK segera bertindak ke atas kilang itu sebelum masyarakat yang sedang memerhatikan segala situasi berkenaan mempersoalkan integriti dan ketelusan pihak perbandaran itu dalam mengambil tindakan ke atas kilang haram yang kebal beroperasi itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast