Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agung menyaksikan pertabalan Maharaja dan Maharani Jepun, Naruhito dan Masako di Tokyo tengahari tadi.Foto INstagram Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah antara 185 ketua negara dan kenamaan dari seluruh negara yang berpeluang menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun di Istana Imperial di Tokyo, Jepun hari ini.

Upacara itu bagi pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito yang dimasyhurkan pada 1 Mei lalu dan kali terakhir upacara tersebut diadakan pada tahun 1990 bagi ayahanda baginda, Maharaja Akihito.

Al-Sultan Abdullah yang mengenakan seragam tentera darat nombor satu manakala Tunku Azizah berpakaian baju kurung warna merah jambu diiringi Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan ke upacara bersejarah negara matahari terbit itu.

Kehadiran Seri Paduka berdua adalah atas jemputan kerajaan Jepun.

Maharaja Naruhito, 59, menaiki takhta selepas Maharaja Akihito, 85, melepaskan kedudukan tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara itu atas faktor kesihatan sekali gus menjadi maharaja pertama berbuat demikian.

Kebiasaannya pewarisan hanya berlaku selepas kemangkatan.

Maharaja Jepun Naruhito mengisytiharkan pertabalannya sebagai Maharaja Jepun ke-126 di Istana Imperial, Tokyo dalam upacara penuh tenang dan tradisi disaksikan lebih lebih 160 ketua Negara dan 2000 delegasi tengahari tadi.Foto:Reuters

Pemasyhuran Maharaja Naruhito menandakan permulaan era baharu Jepun, iaitu reiwa yang bermaksud harmoni dan tertib yang mengakhiri era ‘Heisei’ yang bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito.

Upacara yang dinanti-nantikan rakyat Jepun itu berlangsung di dewan paling berprestij dan elegan di Istana Imperial dikenali sebagai Seiden Matsu-no-Ma  hanya mengambil masa selama 30 minit selepas bermula pada 1 tengah hari waktu tempatan (kira-kira 12 tengah hari waktu Malaysia).

Maharaja Naruhito pada upacara itu mengenakan jubah berwarna jingga gelap iaitu ‘gosokutai’ lengkap dengan mahkota ‘ryuei-no-onkanmuri’ menaiki Singgahsana Maharaja.

Maharani Masako yang mengenakan pakaian upacara istana on-itsutsuginu yang terdiri daripada jubah lima lapis diperbuat daripada sutera menaiki Singgahsana Maharani yang disebut sebagai August Seat.

Langsir berwarna ungu yang menutupi kedua-dua singgahsana itu kemudiannya dibuka serentak dengan paluan gong sebelum Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe tampil ke hadapan Maharaja Naruhito.

Maharaja Naruhito kemudiannya menyampaikan titah baginda diikuti Abe menyampaikan ucapan tahniah yang diakhiri dengan sorakan banzai sebanyak tiga kali bagi meraikan pertabalan  serentak dengan tembakan das meriam.

Tamat sahaja sorakan itu, Abe kembali ke tempat duduknya dan langsir kedua-dua singgahsana itu kembali ditutup untuk Maharaja Naruhito dan Maharani Masako berangkat keluar menandakan berakhirnya upacara tersebut.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast