Datin Seri Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk penangguhan perbicaraan saman difailkan oleh sebuah firma barang kemas Lubnan yang menuntut pemulangan 44 butir barang kemas bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta, yang didakwa telah dihantar kepada isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dilihat.

Hakim Wong Chee Lin memerintahkan Rosmah membayar kos RM3,000 kepada firma Lubnan itu.

Terdahulu, peguam Mohamed Reza Rahim, yang mewakili Rosmah berhujah bahawa mereka sedang menunggu rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah itu membenarkan Rosmah melanik seorang pakar barang kemas bebas bagi mengenalpasti dan mengesahkan bilangan barang kemas tersebut yang ketika ini dalam jagaan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Bagaimanapun, kami sedia, dan sanggup menyertai perbicaraan,” kata beliau.

Peguam Datuk David Gurupatham, bertindak bagi pihak firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL berkata perbicaraan sepatutnya berjalan hari ini kerana pemilik firma Lubnan itu Samir Halimeh bersedia untuk memberi keterangan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Gurupatham berkata perbicaraan itu ditangguhkan oleh kerana terdapat rayuan belum diputuskan tentang isu juri (pakar barang kemas bebas).

“Jika anak guam saya beri keterangan dan pulang, maka ini akan memprejudis beliau. Walaupun (permohonan) penangguhan telah ditolak, terdapat rayuan belum diputuskan bagi mengenal pasti dan mengesahkan 44 butir barang kemas atau cuma hanya sebutir atau mana-mana daripadanya di mahkamah perlucutan hak.

“Jadi, kami putuskan untuk menarik balik kes, bergantung pada keputusan mahkamah perlucutan hak. Jika mahkamah itu menyatakan bahawa ada juri (pakar barang kemas bebas), maka kami akan ambil tindakan terhadap kerajaan atau Rosmah,” kata beliau.

Ditanya sama ada beliau boleh memfail saman baharu, peguam itu berkata tidak ada apa yang boleh menyekat mereka daripada berbuat demikian.

Dalam saman itu, Global Royalty mendakwa bahawa pada 10 Feb, 2018, ia telah menghantar 44 butir barang kemas termasuk kalung berlian, subang, cincin, rantai tangan dan tiara, setiap satu bernilai antara US$124,000 (RM519,183) dan US$925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan, diserah dengan tangan menrusi dua agennya.

Syarikat itu berkata Rosmah telah mengaku menerima barang-barang kemas tersebut dan bersetuju dengan terma dan syarat yang terkandung dalam Memorandum No 926 berkaitan barang kemas itu.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui ada menerima barang kemas itu tetapi menyatakan semua barang kemas itu tidak lagi dalam miliknya kerana telah dirampas dan diletakkan dalam simpanan pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon agar mahkamah mengisytiharkannya sebagai pemilik sah semua barang kemas berkenaan dan bahawa milikannya tidak pernah berpindah tangan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori agar Rosmah membekalkan senarai barang kemas yang dirampas, untuk dikembalikan, atau Rosmah membayar harga barang kemas itu bernilai US$14.79 juta (RM59.83 juta).

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast