KUALA LUMPUR – Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh segelintir ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung peralihan kepimpinan tinggi negara baru-baru ini jelas bercanggah dengan agenda reformasi.

Malah, ia juga tidak menepati hasrat rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kenyataan-kenyataan berkenaan hanyalah satu pandangan bersifat kepentingan politik peribadi.

Ia berkemungkinan cubaan menyelamatkan diri daripada isu kontroversi demi kelangsungan politik.

Kenyataan oleh ahli parti itu sama sekali tidak mencerminkan pendapat parti.

“PKR sudah beberapa kali dengan tegas menyatakan akan menghormati perjanjian yang telah dipersetujui dan peralihan kepimpinan akan dibuat penuh hormat, tertib dan muhibah serta berlunaskan kepada prinsip dan amalan demokrasi,” katanya.

Shamsul dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meminta semua pihak mengekalkan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga selesai tempoh sepenggal kerana itu adalah mandat rakyat.

Lantaran itu, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, langkah untuk mengubah pentadbiran kerajaan dalam tempoh dua atau tiga tahun hanya mewujudkan ‘kerajaan pintu belakang’.

Katanya, PKR menasihatkan semua pihak menumpukan kepada isu kepentingan negara dan menitik berat kepada usaha menyelesaikan permasalahan rakyat terutama dalam langkah-langkah membaik pulih ekonomi negara.

Beliau turut menggesa semua pihak menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pandangan serta menjaga tertib dalam parti dan di antara parti komponen demi menjaga keutuhan PH. – MalaysiaGazette

Biarlah Tun M kekal PM dalam tempoh penggal ini – Azmin