Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali semasa hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI 22, OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa pihak yang ghairah mendapatkan kuasa segera agar menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU-14 lalu.

Katanya, mandat yang diberikan adalah untuk tempoh lima tahun dan langkah untuk mengubah pentadbiran kerajaan dalam tempoh dua atau tiga tahun hanya mewujudkan ‘kerajaan pintu belakang’.

“Kalau ada pihak yang nak mengubah pentadbiran dan kerajaan lebih awal daripada itu, dua tahun atau satu tahun, itulah sebenarnya ‘kerajaan pintu belakang’.

“Sepatutnya biarlah Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri hingga selesai tempoh penggal ini kerana itu mandat diberikan rakyat,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin tidak memperincikan individu mana yang ghairah untuk menggerakkan usaha mengubah pentadbiran kerajaan PH itu.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menjawab pertanyaan media mengenai langkah mewujudkan kerajaan pintu belakang yang digembar-gemburkan minggu lalu.

Nama beliau dikaitkan dengan dua lagi individu lain antaranya Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd. Redzuan Yusof.

Pada 16 Oktober lalu, PH dalam kenyataan mendakwa bekas menteri daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggerakkan kempen membentuk kerajaan baru yang mengenepikan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menasihati agar isu peralihan kuasa tidak lagi dibincangkan kerana ia menjejaskan minat pelabur luar.

Malah katanya, kerajaan PH perlu fokus kepada proses memantapkan semula ekonomi negara dari terus memainkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Pelabur asing, pelabur domestik terlalu bimbang keadaan ini berterusan. Saya harap kita hentikan perbincangan tentang peralihan kuasa, tumpu sepenuh masa untuk bangunkan ekonomi dan membantu rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette