Koordinator Projek Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Amir Abdul Hadi (hadapan, tiga kanan) membincangkan sesuatu dengan wakil-wakil peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan keluarga tahanan SOSMA yang hadir pada sidang media khas berkenaan akta keganasan yang masih diteruskan kerajaan Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Suaram, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 OKTOBER 2019.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mungkin terlupa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditentang oleh mereka sebelum ini.

Sehubungan itu, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahmad Shukri Che Ab. Razab mempertikaikan pendirian terkini pemimpin PH yang dilihat menyokong akta itu.

“Ahli Parlimen PH mungkin lupa SOSMA digubal menggantikan ISA dan SOSMA digunakan sama dan sekarang mengapa kita harus mempertahankan akta yang diwujudkan rejim yang sama.

“AMK akan pastikan semua Ahli Parlimen PH akan mendengar tuntutan gerakan masyarakat seperti SUARAM hari ini,” katanya ketika sidang media bersama NGO itu hari ini.

Dalam pada itu Koordinator Projek SUARAM, Amir Abdul Hadi menggesa PH yang sebelum ini menjanjikan dan memperjuangkan untuk memansuhkan SOSMA menjelaskan pendirian terkini mereka.

Dalam masa yang sama kerajaan itu mereka perlu memberi penerangan dan perkembangan kepada SUARAM dan pihak berkepentingan yang menentang akta keganasan sekiiranya akta itu hanya akan dipinda.

“Selepas pertukaran kerajaan kami ada dijemput berbincang sebelum ini dengan beberapa agensi lain, bincang tentang undang-undang keselamatan ini.

“Tapi kami tidak ada dengar perkembangan terkini, kami tidak ada dijemput selepas itu dan kami juga tidak pasti apa sedang terjadi. Kami dengar Menteri Dalam Negeri ada buat draf pindaan SOSMA tapi kami tak tahu apa pindaannya,” katanya.

Amir menggesa kerajaan memberikan sebab Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan gerakan lain yang telah disenaraikan sebelum ini dianggap sebagai kumpulan pengganas.

Katanya lagi, selain SUARAM dan NGO lain yang konsisten menentang akta itu, masyarakat juga berhak diberi pengetahuan supaya faham tujuan kerajaan membuat larangan secara munasabah untuk tidak mendekati kumpulan tertentu.

Jelas beliau, ini kerana banyak tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) khusunya, ditangkap tanpa diberikan penjelasan tentang faktor penangkapan mereka yang diklasifikasikan sebagai menyokong gerakan pengganas.

“Supaya jelas, supaya orang awam tahu ini kumpulan dianggap pengganas, jangan dekati dan jangan zahirkan sokongan ada medium lain boleh dizahirkan untuk membantu.

“Kalau LTTE pengganas beritahu kenapa ia dianggap pengganas kerajaan mesti tahu walaupun setahu saya gerakan itu sudah tidak ada lagi sebenarnya.

“Apa kriteria menyenaraikan kumpulan-kumpulan ini sebagai pengganas bukan kita (SUARAM) sahaja perlu tahu, orang awam juga perlu tahu,” tambahnya.

Beliau turut mendakwa majoriti tahanan di bawah akta keganasan sebelum ini hanya soft supporter yang tidak mempunyai kecenderungan jelas menjadi pengganas namun ditahan tanpa dibicarakan dan dilayan secara adil.

Menerusi rekod yang diperolehi SUARAM, jumlah tangkapan di bawah SOSMA sejak tahun 2015 hingga tahun lalu adalah 2325, manakala di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), seramai 1464 ditangkap.

Di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) untuk tempoh yang sama pula menangkap 17 orang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ko tak pyh nk menyalak lh ngo bodoh…ko ngo cap ayam, selayak.nya ko pjuang anjing2 liar yg berkeliaran di tepi jaln je..

Comments are closed.