Lenggeng Suhaimi Kassim kerusi
Suhaimi Kassim

KUALA LUMPUR – Apa sebenarnya motif Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menganjurkan program Mantai Harapan Prihatin pada tarikh sama dengan program Bazar Peduli Rakyat pada  2 November ini?

Tindakan Datuk Zulkefly Mohamad Omar itu dikatakan cubaan untuk menidakkan aktiviti sihat anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sembilan dengan Pusat Khidmat DUN Lenggeng yang akan diadakan di Pentas Budaya, Kampung Rawa.

Menurut sumber kepada MalaysiaGazette, program Bazar Peduli Rakyat yang dicetuskan ADUN Lenggeng, Suhaimi Kassim dirancang sejak sekian lama bagi membantu meringankan beban rakyat kawasan itu dengan menjual barangan basah pada harga murah.

Bagaimanapun, rakyat kawasan itu dikejutkan dengan program Mantai Harapan Prihatin di Dataran Lenggeng anjuran Zulkefly pada tarikh dan waktu yang sama dengan lokasi terletak kira-kira tiga kilometer.

Rasa tidak puas hati itu dicetuskan netizen menerusi akaun Facebook PH Hot Coffee, yang rata-rata menyifatkan tindakan hendak bersaing sesama sendiri sebagai tidak elok.

Bagi mereka, program mantai yang menyajikan jualan ikan, sotong, ketam dan udang biasanya diadakan oleh rakyat Negeri Sembilan untuk menyambut kedatangan Ramadan dan Hari Raya sahaja.

“Apa perlunya menganjurkan program seperti ini di DUN Lenggeng. Bukankah beliau sepatutnya menjaga DUN Johol, iaitu kawasan yang pernah ditandinginya pada PRU 14 yang lalu?,” soal netizen itu.

Pengerusi PAN Negeri Sembilan turut menganjurkan program sama pada tarikh dan waktu yang sama.

Tindakan Zulkefly menyalahgunakan kedudukannya yang juga Speaker DUN Negeri Sembilan adalah tidak patut kerana boleh menjatuhkan maruah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Harapan (PH).

“Sepatutnya, sebagai Pengerusi PAN negeri, beliau boleh berfikir dengan bijak. Apa salahnya bekerjasama dengan ADUN Lenggeng untuk menjayakan program itu di DUN berkenaan.

“Tindakan itu amat tidak disenangi oleh pembekal dan penjual daging di Lenggeng kerana harga jualan di program Mantai Harapan Prihatin seolah cuba ‘membunuh’ pembekal dan peniaga daging di Lenggeng yang rata-ratanya orang Melayu,” kata netizen itu lagi.

MalaysiaGazette difahamkan, sebelum ini banyak program luar yang dibuat di DUN Lenggeng tidak dimaklumkan kepada Pejabat DUN berkenaan, sekali gus memberi isyarat kepada rakyat bahawa PH berada dalam keadaan bergolak.

“Sudah tentu UMNO bersorak gembira dengan sikap ditunjukkan pemimpin Amanah ini dan mereka akan menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk menjatuhkan PH,” katanya. – MalaysiaGazette