Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Kritikan Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid berhubung pelantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Datuk Amarjit Singh jelas bercanggah dengan semangat kekeluargaan dalam kalangan parti kerajaan negeri itu.

Tegas Ketua Wira Parti Warisan Sabah, Datuk Azis Jamman, tidak salah untuk mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) mengkritik tetapi perlu menyalurkan kritikan melalui saluran yang betul kerana Rahimah bukan lagi pemimpin pembangkang seperti dahulu.

Kata beliau, mentaliti pembangkang perlu diubah dalam minda setiap pemimpin PH dan harus bermain secara berpasukan.

“Rahimah kena faham, setiap keputusan pastinya dibincang dan diputuskan secara kolektif.

“Beliau boleh menyuarakan kritikan itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PKR negeri atau minta penjelasan, kerana Pengerusi PKR negeri, Datuk Christina Liew adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga ahli kabinet negeri.

“Christina boleh menjelaskan kepada Rahimah atas asas apa Amarjit dilantik dahulu dan atas asas apa kerajaan meminta Amarjit meneruskan tugas sebagai Pengarah JANS,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini

Kelmarin, Rahimah mengkritik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berhubung keingkaran kerajaan negeri terhadap keputusan mahkamah dalam pelantikan Pengarah JANS.

Menurut Rahimah yang juga Pegawai Khas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, maklum balas yang diterima dari akar umbi menunjukkan pelantikan itu telah merosakkan reputasi dan imej kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Azis memberitahu, mahkamah tidak menyebut pelantikan Amarjit sebagai tidak sah, malah mahkamah hanya menyebut pelantikan itu sebagai “di luar norma kebiasaan” pelantikan pengarah sesuatu agensi kerajaan negeri khususnya JANS.

“Bagi saya, Rahimah perlu memahami secara mendalam keputusan dibuat kerajaan negeri untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pelantikan Amarjit sebagai Pengarah JANS.

“Sememangnya ia mempunyai asas kerana terdapat perbezaan interpretasi terhadap enakmen berkenaan.

“Janganlah membuat andaian melulu berhubung keputusan kerajaan negeri untuk membuat rayuan dalam isu ini, pegawai undang-undang dalam kerajaan negeri bukanlah orang baru kelmarin berkhidmat, mereka amat memahami apa yang berlaku dan sedar ada asas untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Bahkan, kata beliau, udang-undang dalam negara juga memperuntukan hak individu atau kerajaan bahawa setiap kes perlu melalui setiap proses perundangan yang ada.

Rahimah katanya, perlu melihat isu dihadapi oleh Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman apabila mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangannya.

Namun, rayuan telah dikemukakan dan Anifah masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

“Jadi, dalam soal ini kenapa perlu untuk Amarjit meletak jawatan, sedangkan pasukan peguam negeri dalam proses untuk memfailkan rayuan mengikut lunas undang-undang dan sudah pasti kerajaan negeri akan akur terhadap apa juga keputusan mahkamah kelak.

“Oleh itu, saya menggesa Rahimah tidak berperangai sebagai pembangkang yang melontarkan kritikan secara membuta tuli, yang akhirnya merugikan kerajaan dan parti.

“Rahmah perlu bertindak dan bersuara secara berhikmah sebagai pemimpin di pihak kerajaan,” katanya yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cik mah oiiiiii….kita sekarang ini kerajaan
    Bukan pembangkang !!!!!! Lupa keeeee Joyah oiiii

Comments are closed.