Analisis TV AlHijrah
Poster Analisis TV AlHijrah Bertajuk Program Subsidi Petrol: RM30 Sebulan?

KUALA LUMPUR – Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) melahirkan rasa kesal apabila dihalau dan dihalang daripada menjadi ahli panel dalam rancangan bual bicara ‘Program Subsidi Petrol: RM30 Sebulan?’ di stesen TV AlHijrah, malam semalam.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar menegaskan, beliau telah dijemput untuk menjadi ahli panel bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Bagaimanapun beliau dimaklumkan oleh pihak studio TV AlHijrah bahawa jemputan itu dibatalkan pada saat akhir atas permintaan menteri berkenaan yang enggan sepentas dengan A’zlan.

“Tuntut menzahirkan rasa kekecewaan kami apabila tidak dibenarkan masuk langsung, malah ditahan tanpa sebab di pintu masuk TV AlHijrah.

“Kami dibiarkan tunggu sehingga habis program di luar tanpa dilayan oleh mana-mana pegawai TV AlHijrah walaupun diberitahu akan didatangi oleh pegawai mereka.

“Ini memaksa kami terpaksa membuat siaran secara langsung di Facebook Tuntut di atas anak tangga stesen tv ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, tinjauan MalaysiaGazette di Facebook rasmi TV AlHijrah mendapati rancangan bual bicara itu diuar-uarkan lebih awal melalui satu poster yang dimuatnaik menyatakan NGO dijemput sebagai panel.

Bagaimanapun sebelum rancangan Analisis TV AlHijrah itu ke udara jam 9 malam semalam, pentadbir Facebook berkenaan telah memadam poster terbabit dan menggantikan dengan poster lain hanya membabitkan menteri KPDNHEP sahaja.

Poster Analisis TV AlHijrah Bertajuk Program Subsidi Petrol: RM30 Sebulan?

Menurut A’zlan lagi, sejuruh selepas habis rancangan bual bicara itu, Saifuddin seolah-olah cuba melarikan diri dan enggan berselisih dengan kumpulan NGO yang berada di luar pekarangan TV AlHijrah itu sejak 8 malam semalam.

“Apa yang lebih menyedihkan apabila habis saja sesi slot Analisis, YB Menteri KPDNHEP dilihat cuba lari daripada berjumpa kami dengan mengikut pintu kedua.

“Ini satu perbuatan yang tidak boleh diperlaku oleh seorang menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette