Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin pengkhianatan mampu diatasi dengan prinsip perjuangan.

Presiden UMNO itu berkata, Setiap kali bertemu pimpinan dan ahli UMNO, beliau sentiasa menekankan soal prinsip perjuangan.

“Inilah senjata kita dalam menghadapi propaganda politik. Jika tanpa prinsip perjuangan sudah lama UMNO ditalkinkan.

“Kerana prinsiplah UMNO tetap relevan dipersada politik dahulu, kini dan selamanya.

“Prinsip perjuangan juga yang menjadi titik tolak Muafakat Nasional yang sama-sama kita usahakan dan pertahankan hari ini,” katanya dipetik tulisannya menerusi ruang Secangkir Kopi.

Ahmad Zahid berkata, pengkhianatan juga menjadi cabang propaganda politik, tidak kira sama ada pengkhianatan dari dalam atau luar.

Ujar beliau, propaganda politik adalah senjata paling ampuh dan efektif digunakan untuk mendapatkan keuntungan politik termasuk menjatuhkan kredibiliti lawan yang dilakukan secara konsisten.

Melalui propaganda juga katanya, kebencian boleh bertukar kepada kasih sayang, perseteruan kepada kerjasama, kebenaran kepada pembohongan, fakta kepada auta, persahabatan kepada permusuhan.

Beliau berkata, adakah pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ di sekolah dan institusi pendidikan boleh dikategorikan sebagai propaganda politik bagi mempengaruhi pelajar seawal di sekolah rendah dan menengah?

Katanya, komik terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia itu diterbitkan pada April 2019 dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan bahasa Inggeris telah menimbulkan kegelisahan dan keresahan di kalangan rakyat.

“Saya difahamkan, komik berkenaan menyertakan propaganda yang mengagungkan parti DAP, memberi bayangan bahawa kerajaan Malaysia hipokrit dalam layanan kepada komunis serta memburukkan kerajaan terdahulu.

“Walaupun ada pihak berkepentingan politik mempertahankan penerbitan dan pengedaran komik ini, aspek keselamatan membabitkan sensitiviti rakyat tidak boleh dikomporomi dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Jangan diperjudikan keharmonian dan kerukunan hidup rakyat dengan propaganda politik murahan seperti ini,” katanya.

Kata beliau, menyedari sensitiviti dan seriusnya isu itu, desakan demi desakan telah dibuat oleh blok pembangkang yang memainkan peranan aktif dan berusaha mengusulkan agar isu itu dibahaskan di Parlimen.

Namun, ujarnya, usul berkenaan ditolak atas sebab-sebab yang tidak munasabah.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas ketegasan mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan dan pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’. – MalaysiaGazette