KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd terpaksa menyemak semula kadar bayaran pos sejajar dengan peningkatan harga oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU) mulai Januari 2020 untuk menyelaraskan kos operasinya.

“Di sebalik cabaran itu, Pos Malaysia akan terus memberikan perkhidmatan pos untuk semua dengan memanfaatkan liputan rangkaian penyampaiannya yang pantas di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

UPU ialah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menyelaras dasar-dasar pos dalam kalangan negara anggota, sebagai tambahan kepada sistem pos di seluruh dunia.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) mengancam untuk meninggalkan UPU dengan mendakwa syarikat-syarikat di China membayar kadar subsidi yang tinggi berikutan sistem itu dilaksanakan untuk membantu negara-negara membangun.

AS mendakwa syarikat-syarikat di China membayar harga lebih rendah untuk menghantar keluar barang ke AS berbanding barang yang dihantar dalam AS.

Pada akhir September, UPU mengadakan kongres luar biasa di Geneva yang membenarkan AS kekal sebagai ahli UPU dan diberikan fleksibiliti untuk negara itu mengisytiharkan kadarnya sendiri.

Menurut laporan media, AS akan menaikkan harga bagi bungkusan di negara lain sebagai pertukaran kepada sumbangan ke atas ‘dana sukarela’ UPU yang merangkumi keselamatan dan pencen.

Negara-negara lain juga boleh menyelaras harga bungkusan untuk destinasi AS pada Julai akan datang serta bayaran dari lokasi lain yang ditetapkan jumlahnya setiap tahun. – MalaysiaGazette