Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Ikon Kayuhan Wanita, Datuk Seri Datuk Siti Nurhaliza dan peserta yang lain pada Program Kayuhan Wanita 2019 di Perkarangan Monumen Alaf Baru, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersiap sedia menjalankan kerja-kerja menyelamat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada musim monsun yang bermula awal bulan ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, PBT sentiasa bergerak pantas untuk turun ke padang disebabkan faktor cuaca tidak menentu pada masa kini.

JPBM pula jelas beliau sudah mengenalpasti lokasi yang sering berlaku bencana banjir pada monsun timur laut ini dan sudah bersiap siaga sepenuhnya.

“Peringkat PBT sudah sedia dan pantas akan turun ke padang manakala Bomba siap siaga berdepan bencana banjir.

“Tapi nampaknya tahun ini awal berlaku musim hujan pada bulan ini.

“Saya berdoa bencana ini tidak akan berterusan lama namun PBT dan bomba 100 peratus dalam berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melepaskan peserta Peogram Kayuhan Wanita 2019 di sini hari ini.

Mengenai program Kayuhan Wanita yang menyaksikan penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin sebagai Ikon Selebriti Kayuhan Wanita, Zuraida berkata ia program pertama di bawah Dasar Komuniti Negara yang menjadikan aktiviti sukan sebagai wadah mewujudkan persekitaran berkualiti dan memperkasa aktiviti komuniti.

Program yang berlangsung di Monumen Alaf Baru, Putrajaya berjaya menarik penyertaan seramai 2,000 peserta untuk berkayuh sejauh 20 kilometer, katanya.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang sukan selain menjadi medan terbaik bagi mengeratkan kerjasama di antara penjawat awam bersama badan-badan sukarelawan wanita.

“Program ini juga telah mendapat sokongan beberapa kementerian seperti Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perlancongan dan beberapa syarikat swasta.

“Selain itu juga, melalui penganjuran program seumpama ini, ianya akan dapat menyokong usaha-usaha pemerkasaan kaum wanita dalam apa jua bidang yang diceburi dan agar wanita mampu berdiri dan berdaya saing dalam menempuhi cabaran dunia global pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast