Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO menganggap isu peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai masih terlalu ‘premature’, justeru tiada sebarang ketetapan dibuat oleh parti itu buat masa ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, soal peralihan kuasa itu juga adalah urusan dalaman Pakatan Harapan (PH) dan boleh ditentukan oleh 138 ahli Parlimen mereka.

Katanya, hanya sekiranya PH gagal mencapai konsensus sesama mereka, barulah wujud keperluan blok pembangkang membuat pendirian.

“Bagi tujuan tersebut Majlis Kerja Tertinggi akan berunding terlebih dahulu, parti komponen BN akan dirujuk dan Pas sebagai rakan Muafakat Nasional akan  kita sepakati sebelum sebarang pendirian dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Annuar, jika keadaan itu berlaku, keputusan parti akan disampaikan kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional menerusi Ketua Whip BN, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Insya-Allah, apa jua keputusan parti nanti ianya akan berupa keputusan “en bloc” dan akan dipatuhi oleh semua Ahli Parlimen BN,” katanya.

Beliau berkata, sebagai parti yang bertanggungjawab dan pembangkang yang berwibawa, UMNO mengambil sikap menghormati institusi perdana menteri serta peranan kerajan semasa.

UMNO juga katanya, mahukan kedua-duanya berfungsi denga baik dan mengutamakan kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah air.

“UMNO komited untuk terus berjuang demi rakyat bersama rakan komponen BN dan PAS serta semua parti di blok pembangkang.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak terlalu cepat membuat telahan atau konklusi, sebelum tiba masanya kita diperlukan berbuat demikian,” katanya.

Annuar turut mengulangi pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa sokongan yang ditunjukkan enam ahli parti itu terhadap kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal adalah pandangan peribadi kumpulan berkenaan. – MalaysiaGazette