Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Beberapa jam sebelum pengumuman calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau percaya gabungan pembangkang dapat merampas kerusi itu.

Menurut beliau, ia berdasarkan kepada keyakinannya bahawa rakyat masih menaruh harapan kepada pembangkang yang dilihat mampu untuk mewakili mereka.

“Rakyat yakin dan percaya gabungan pembangkang harus mewakili mereka kerana mampu menyuarakan masalah yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UMNO dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing akan mengumumkan calon mereka petang ini bagi menentukan siapa yang dapat memenangi kerusi itu pada 16 November depan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata jentera Barisan Nasional (BN) perlu berada di tahap optimum dengan mengambil semangat kemenangan tiga PRK sebelum ini.

“Jentera BN perlu mengekalkan momentum kerja kuat dan berpasukan seperti PRK yang lalu untuk memastikan kemenangan BN,” katanya lagi.

BN memenangi tiga kerusi PRK antaranya kerusi Parlimen Cameron Highlands, dan dua kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Semenyih dan Rantau, Negeri Sembilan.

Sementara PH memenangi 5 kerusi iaitu tiga kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen iaitu kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenangi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerusi Parlimen Sandakan.

Teka-teki mengenai siapa calon yang bakal disandarkan harapan oleh PH dan BN untuk bertanding PRK Tanjung Piai, bakal terjawab petang ini apabila kedua-dua pakatan itu dijangka membuat pengumuman khas.

PH akan mengumumkan calon pada jam 2 petang manakala UMNO pada jam 3.30 petang.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas, akibat mengalami komplikasi jantung. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Mimpi lah di siang hari wak zahid , jangan jadi lebai dan pak lebai malang sudah. PASUMNO/BN Jadi jadi malang dan malang untuk selama lama nya insaallah, Amin…

Comments are closed.