Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Tiada isu mengenai siapa calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, sama ada dari UMNO atau parti komponen lain.

Ini kerana, menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris, setiap keputusan adalah dari kepimpinan tertinggi BN dan UMNO.

Justeru, katanya, Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak layak campur tangan atau mempersoalkan calon BN kerana kenyataan mereka berasaskan dakyah untuk memecahbelahkan parti semata-mata.

“Kini, PH melalui Exco Armada PPBM, Muzzammil Ismail mula untuk memecah belahkan UMNO dengan dakwaan tidak berasas apabila tiba musim PRK.

“Dia mengatakan sesuatu yang sangat mengaibkan apabila seorang presiden parti boleh ‘diarahkan’ tutup mulut untuk tidak mengumumkan calon di Tanjung  Piai dan menuduh UMNO terpaksa mengikut rentak MCA yang cuma mempunyai satu kerusi parlimen.

“Dakwaan ini tidak rasional dan bertujuan menimbulkan perbalahan dalam BN,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata demikian mengulas kenyataan Muzzammil yang menyifatkan sesuatu mengaibkan apabila seorang presiden parti boleh ‘diarahkan’ tutup mulut untuk tidak mengumumkan calon PRK Tanjung Piai.

Beliau dilaporkan berkata, UMNO yang sebelum ini lantang mendesak DAP berkaitan isu Melayu dan Islam kini terpaksa mengikut rentak MCA yang cuma mempunyai satu kerusi parlimen.

Dakwa Exco Armada itu, perkembangan terbaharu itu mendorong pihaknya membuat kesimpulan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai kelebihan besar untuk mengemudi parti berbanding presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Isnin lalu, Ahmad Zahid dilaporkan menjelaskan, beliau ‘diarahkan’ untuk tidak mengumumkan calon pada PRK Tanjung Piai pada hari sama Pakatan Harapan (PH) dari PPBM mengumumkan calonnya.

Bagaimanapun, beliau hanya memberi ‘hint’ bahawa calon BN merupakan anak tempatan.

Mengulas lanjut isu itu, Najmil Faiz berkata, apa yang jelas, semua calon BN tidak kira dari mana-mana parti komponen terbukti mampu memberikan khidmat terbaik untuk rakyat, bukan seperti pemimpin PH hanya mahir dalam retorik politik.

“Exco Armada seharusnya sedar diri dan menumpukan kepada masalah dalaman PH yang penuh dengan konflik sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap negara.

“Tanjung Piai mempunyai ramai pekebun kecil yang berharap bantuan tanaman semula dikembalikan setelah dimansuhkan Menteri DAP, Teresa Kok.

“Mengapakah isu rakyat seperti ini tidak dibangkitkan Exco Armada? Adakah kepemimpinan PPBM diarah tutup mulut?” soal beliau.

Beliau berharap, seluruh jentera dan akar umbi BN bersedia dan bersatu padu memenangkan calon BN pada 16 November ini tidak kira dari mana parti komponen sekali pun selaras dengan semangat Muafakat Nasional yang didukung selama ini. – MalaysiaGazette