Laksamana (B) Puzi Kahar

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) muktamad dengan keputusan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti itu untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November ini.

Menurut ADT yang juga Ketua Penyelaras PUTRA Johor, Datuk Seri Laksamana (B) Puzi Kahar, parti itu jelas dan tegas dengan keputusannya yang dicapai pada mesyuarat 25 Oktober lalu.

Oleh itu, tegas beliau, kenyataan Ketua penaja PUTRA Bahagian Tanjung Piai, Shaharudin Kamijan bahawa parti itu akan meletakkan calon pada PRK ini tidak benar sama sekali.

Ia lebih bersifat kenyataan peribadi, bukan mewakili parti.

“Mesyuarat ADT PUTRA Jumaat lalu telah buat keputusan muktamad tidak akan menyertai PRK Tanjung Piai kerana masa ini PUTRA akan menumpukan usaha penubuhan bahagian, sayap bahagian dan cawangan.

“PUTRA baru menerima kelulusan 8 Mei lalu dan berusia sekitar hampir enam bulan. Terlalu awal untuk menyertai PRK Tanjung Piai yang merupakan kawasan pengundi seimbang antara Melayu dan bukan Melayu.

“PUTRA juga dari awal lagi menetapkan dasar akan bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu dan Bumiputera di mana calon yang bertanding semuanya Melayu dan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, portal atas talian Malaymail melaporkan Shahrudin sebagai berkata, parti itu telah mengesahkan akan bertanding dalam PRK Tanjung Piai sekiranya Barisan Nasional (BN) meletakkan menjadi calon bukan Melayu.

Beliau turut berkata, pengumuman calon bagi parti PUTRA akan dibuat sehari sebelum pencalonan pada 2 November ini.

Menurut Puzi, parti itu berhasrat memberi pilihan kepada pengundi Melayu untuk memilih calon dan parti terbaik yang bertanding.

“Sama ada pengundi Melayu, bumiputera mahu memilih parti yang sudah merundum dan terpalit, parti retorik atau parti yang bertopengkan Melayu, tetapi menjadi kuda tunggangan kepada parti yang anti Melayu dan Islam.

“Kita sekadar mahu pengundi Melayu bumiputera mempunyai pilihan terbaik semasa PRU-15 akan datang atau mana-mana pilihan raya kecil yang calonnya semua Melayu bumiputera.

“PUTRA juga akan mempertimbangkan untuk meletakkan calon di kawasan pengundi seimbang seperti Tanjung Piai dengan syarat parti yang bertanding semuanya meletakkan calon bukan Melayu,” tegasnya.

Beliau berkata, jika PH, BN dan Gerakan semua meletakkan calon bukan Melayu, sudah pasti PUTRA akan menyertai PRK Tanjong Piai.

Katanya, oleh kerana PPBM sudah mengumumkan calonnya orang Melayu, PUTRA tidak akan menyertai PRK itu walaupun BN meletakkan calon bukan Melayu dari MCA.

“PUTRA tidak akan menjadi alat sekadar bertanding untuk pecah undi Melayu bagi kepentingan mana-mana pihak yang bertanding. Banyak pihak membuat provokasi agar PUTRA turut bertanding PRK Tanjong Piai. – MalaysiaGazette