Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berlangsung, terdapat kekecohan daripada Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak mengganggu sesi tersebut.

Ketika Khalid memulakan sesi penggulungan, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bingkas bangun mempertikaikan keberadaan Ahli Parlimen Shah Alam itu.

“Kami mahu Timbalan Menteri yang gulung, bukan Menteri, menteri ini broker.

“Dia tak layak, dia menteri broker. Kalau dia jawab, kami panas. Dia jual Kampung Baru,” celah Shahidan.

“Kalau panas keluarlah,” balas Khalid.

Shahidan memberikan gelaran itu kerana mendakwa Khalid menjadi broker mengenai isu pembelian tanah di Kampung Baru, sebelum ini.

Dewan mula gamat selepas itu dengan pertikaman lidah, sebelum reda seketika dan Khalid menyambung ucapan.

“Pemimpin-pemimpin parti Melayu, yang 60 tahun pegang pemerintahan. Dia bangga, dia kekalkan Kampung Baru dalam keadaan mundur,” kata Khalid.

Ketika itulah, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bangkit meluahkan kemarahan.

“Memang kita bangga ini tempat Melayu. Kamu tak bangga ke? Ini Melayu punya. Melayu punya you tak bangga? Bodoh!” jerit Tajuddin.

‘Drama’ mengganggu Khalid terus rancak apabila bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar turut mempertikaikan keberadaan Khalid.

Selepas itu, Dewan Rakyat menjadi gamat dengan lontaran jeritan antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan sehingga sesi Parlimen tertangguh buat beberapa ketika.

Ia kemudiannya dileraikan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon namun pertikaman lidah itu terus menerus berlaku.

Justeru Rashid mengarahkan Tajuddin Abdul Rahman untuk keluar daripada Dewan Rakyat kerana mengganggu sesi penggulungan Khalid.

“Bentara sila jalankan tugas, saya minta Pasir Salak keluar, dua hari,” arah Rashid.

“Saya tetap dengan keputusan saya tapi Pasir Salak boleh duduk, saya minta menteri terus bercakap, tapi saya dah buat keputusan untuk Pasir Salak (digantung) untuk dua hari,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Tajuddin enggan berganjak dan terus berada di Dewan Rakyat.

Gangguan demi gangguan terus diterima Khalid apabila Shahidan ingin mencelah.

“Yang berhormat (menteri), (dengar nada marah), bagi saya mencelah sikit.

Dalam nada tenang, Rashid terus menasihatkan Arau untuk duduk dan mendengar dahulu penjelasan Khalid sebelum sebarang pencelahan ingin dibuat.

“Saya minta (Ahli Parlimen) Jelebu dan Arau duduk dulu, dengar dulu penjelasan menteri,” katanya dalam nada tegas. -MalaysiaGazette