Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran (kiri) bersama tiga yang lain diiring anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan baharu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Kompleks Mahkamah Duta Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan salah seorang daripada empat suspek yang dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan baharu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mengikut kertas pertuduhan, Saminathan, 34,  didakwa memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas itu menerusi Facebook menggunakan nama ‘Gsami Nathan Siva’.

Selain Saminathan, pemandu teksi, V. Balamurugan, 37, penghantar surat, S. Teeran, 38 dan peniaga besi buruk, A. Kalaimughilan, 28 masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Balamurugan dikatakan menggunakan nama ‘Balamurugan Veerasamy’, Teeran dengan nama ‘Tammil Kannamah’ dan Kalaimughilan dengan nama ‘Kalai Mugilan’.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di sini pada 7 Oktober dan 8 Oktober 2019 pada masa berlainan iaitu 9 pagi, 10 pagi dan 9.30 malam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Teeran turut didakwa atas pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di kawasan letak kereta B2, Mandarin Pacific Hotel, Jalan Sultan di sini, pada 11.40 pagi 10 Okt lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan juga menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial YouTube pada 10 pagi 2 Jun 2014 di lokasi sama.

Dia turut didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan No 2, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di sini pada 8 malam hingga 11. 30 malam, 17 Mac 2014.

Kesemua pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh dibacakan berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pada 29 Oktober lepas, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri berkaitan kumpulan LTTE.

Saminathan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Di Kuala Kangsar, Perak, Balamurugan menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.

Kalaimughilan, 28, dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 tengah hari, 10 Oktober lepas.

Teeran, didakwa di Segamat, Johor atas kesalahan sama di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai kira-kira 6.30 petang, 10 Oktober lepas.

RamKarpal Singh sebagai peguam mewakili semua tertuduh bagaimanapun membuat permohonan agar memohon kes ini dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Namun hakim akan menetapkan keputusannya Jumaat ini.

Pendakwaan keempat-empat suspek dilakukan di tiga kamar yang berbeza.

Sementara itu, pendakwaan terhadap lapan suspek lain berkaitan kes melibatkan sokongan terhadap LTTE juga dilakukan hari ini.- MalaysiaGazette