KUALA LUMPUR – Pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai gelanggang rasmi perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 pada 2 November ini pasti menaikkan lagi keghairahan penyokong Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Malah kemudahan pengangkutan yang lebih baik dan tambahan jumlah kapisiti penonton yang lebih tinggi berbanding Stadium Shah Alam turut menjadikan Stadium Nasional sebagai daya tarikan kepada penyokong untuk hadir ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2019.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin optimis fenomena di final Piala FA 2019 pasti terjadi sekali lagi dengan puluhan ribu penyokong skuad Hijau Kuning akan hadir memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

“Kita telah menerima perkhabaran daripada pihak Malaysian Football League (MFL) yang Stadium Nasional akan menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia pada mesyuarat penyelaras pasukan yang beraksi di separuh akhir.

“Berdasarkan apa yang berlaku pada final-final musim lepas, kita percaya penyokong-penyokong akan membanjiri Stadium Nasional dan bertambah menarik perlawanan ini umpama pertembungan membalas dendam buat Kedah.

“Pada tahun 2017, kita tewas kepada pasukan yang sama (JDT) dan perlawanan ini kemuncak kepada musim 2019 apabila johan Liga Super dan johan Piala FA bertemu di perlawanan akhir, ” katanya kepada Malaysian Football League.

Hasrat sama turut diutarakan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd. Anizam Jamian, yang menyifatkan pasukan JDT begitu gembira untuk kembali ke SNBJ selepas kali terakhir bermain di pentas final di sana pada 2014.

Mohd. Anizam berpandangan sememangnya SNBJ mempunyai prestij tersendiri dan layak menganjurkan perlawanan akhir Piala Malaysia yang menjadi kemuncak kepada penghujung saingan Liga Malaysia.

“JDT kali ini sangat-sangat teruja bermain di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional selepas sekian lama kami tidak bermain di sini.

“Sebagaimana semua maklum, Stadium Nasional merupakan salah satu venue yang begitu baik untuk diadakan perlawanan akhir dan kita sangat-sangat bersedia kali ini merasai kemeriahannya.

“Kita mahu merasai kehangatan final Piala Malaysia dan kita juga mahukan kejuaraan Piala Malaysia pada edisi kali ini, ” katanya. – MalaysiaGazette